Wednesday, October 28, 2009

Setenang Kak Khadijah...


Malam semalam selepas solat maghrib, aku, Rena, Ummu dan Ain, juga Hana dan ibunya bersiap2 untuk ke berziarah ke rumah kak Dijah, bekas teman serumah, yang baru kehilangan puteri sulung tersayang 22 Oktober 09 lepas. Pemergian anak kesayangan yang baru berusia 3 bulan itu begitu menyedihkan dan kami hanya berkesempatan untuk melawatnya malam tadi. Hati ku begitu beria hendak menjenguk keadaan kak Dijah yang memang terkenal tenang dan sentiasa cool itu, lebih2 lagi setelah membaca luahan rasa di blognya. Aku yakin kak Dijah dan suaminya dapat menghadapi berita sedih itu dengan tenang dan redha.

Kak Dijah menyambut kami dengan senyuman dan wajah ketenangan. Dia sempat menggoreng nasi untuk santapan kami malam itu. Ketiadaan Ustaz Dhan kerana ke meeting malam itu menyebabkan kami terbawa2 perangai ketika di AZ. Kami berbual mesra, maklumlah sudah lama tidak berjumpa, tanpa menyentuh tentang kejadian itu. Kami malas hendak menambahkan sendu K Djah, cukuplah membaca kisah di blognya, dan melihatnya yang masih boleh tersenyum dalam ketenangan, kami juga seolah2 terasa damai itu. Benarlah, janji Allah pada hamba2Nya yang berjaya menghadapi dugaan Nya, pasti Dia akn mencampakkan benih2 ketenangan pada mereka.

Melihat ketabahan kak Dijah dan suaminya, aku terasa amat kecil dan terasa dugaan yang Allah berikan padaku ini, tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan mereka. Aku mula sedar yang cinta dan kasih sayang Allah itu pasti masih ada bagi hamba2nya, dan yang paling sabar pastilah yang akan lebih menghargai saat2 tiba waktunya itu.

Ya Allah, jadikanlah aku setenang dan sekuat kakakku ini....

Thursday, October 22, 2009

Dia PERGI dahulu...

Pagi2 tadi kami serumah AZ dikejutkan dengan berita kematian anak sulung kak Dijah, bekas rakan serumah kami. Anaknya yang berusia 3 bulan 18 hari itu menyahut panggilan Pencinta Agung seawal 6.20 pagi 22 Oktober 2009, meninggalkan ibu ayah yang masih terlalu baru dan tidak puas lagi merasa nikmat mendapat cahayamata yang diberi nama Nur Fatimah binti Ramadhan Fitri itu.

Selepas lebih kurang 2 minggu dia dimasukkan ke ICU di hospital Putrajaya, atas penyakit yang tidak dapat dikesan lagi, yang pasti, oksigen sudah tidak sampai di otaknya menyebabkan banyak organ badannya tidak dapat berfungsi dengan baik. Besar kemungkinan kerana trauma gegaran. Sungguh mengharukan.

Kupasan lanjut tentang berita sedih ini di dalam nukilan Us Hasrizal Saiful Islam dan Kak Bah AZ.

Benarlah, bahawa usia muda bukanlah satu janji bahawa kita akan lambat lagi untuk dipanggil ke sana. Panggilan itu selalu mengingatkan kita, tetapi tidak semua antara kita yang sedar dan mahu ambil peduli. Sesungguhnya, dengan mengingati MATI, kita akan sentiasa berjaga2 dan tidak akan hilang fokus bahawa dunia ini, hanyalah persinggahan, dan semua yang kita lakukan di dunia ini, akan diadili di AKHIRAT kelak.

Ya Allah, kami mohon kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat nanti, dan jauhkan kami dari azab api NERAKA - MU...Ameen.

Al Fatihah untuk Nur Fatimah, dan didoakan moga K Djah dan Ustaz Ramadhan terus tabah dan kuat untuk meneruskan perjuangan ini. Cakap memang senang, tapi Allah pasti tidak akan timpakan ujian itu, melainkan untuk menaikkan lagi martabat hamba2Nya.

Satu hadis dlm satu tafsir Qur’an, yg mafhumnya bermaksud “Manusia akan senantiasa diuji oleh Allah; semakin tinggi imannya, semakin kuat dia akan diberi ujian sampai terhapuslah segala dosa2 nya.”

Wednesday, October 21, 2009

Update Aidilfitri - Belum terlambat lagi

Sambutan Aidilfitri tahun ini ada kelainannya. Program ziarah anjuran BAKIT TM ke Pulau Ketam, Klang 10 Oktober 09 lalu sangat menarik perhatian. Jika Ramadhan lepas dapat bersama2 program dakwah ke kg orang asli, aidilfitri hari kemenangan ini pula aku sama2 menyambutnya bersama Mualaf Cina di Pulau Ketam. Populasi penduduk seramai lebih kurang 2000 orang, namun yang terbuka hati memeluk Islam baru 13 orang, dan rata2nya dari generasi tua. Mereka tidak menyebarkannya kepada generasi muda mudi. Islam seperti gah namanya di sana, lantaran ada Balai Islam Pulau Ketam 2 tingkat dibina, namun penghayatannya masih banyak yang perlu dipertingkatkan.

Rakan2 TM seperti Tn Hj Abu Hassan, juga pesara2, banyak menyumbangkan masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan kelangsungan dakwah rakan2 di Pulau Ketam tidak terhenti dan akan solat bila ada pelawat Islam datang sahaja. Tugas berat yang mereka pikul perlukan generasi muda mudi untuk meneruskannya. Semangat mereka dalam memastikan seruan Islam sampai hingga ke ceruk alam patut dicontohi dan dipandang mulia.

Kehadiran kami ditemani Ustaz Amin, juga berbangsa Cina masuk Islam, namun sudah berguru hingga ke Madinah, kalah orang biasa2 ni. Dia berkahwin dengan orang Melayu dan menetap di Pandamaran. Seminggu atau sebulan sekali dia akan turun ke Pulau Ketam melawat kawan2 di sana dan melayani kehendak kawan2 di sana.

Bertolak dari jeti Pelabuhan Kelang ke Pulau Ketam seawal 9 pagi ,diiringi hujan yang agak lebat. Nmaun semangat kami untuk ke sana mungkin menyebabkan keadaan cuaca kembali panas semasa kami mula menaiki bot. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam dan rombongan kami disertai oleh lebih kurang 37 orang staf TM beserta teman dan keluarga masing2.

Setelah sampai di sana, kami disambut mesra oleh isteri Us Amin dan dijamu dengan makanan pagi Laksa goreng stail Singapura. Sungguh lazat. Sementelah kami berkemas2 barang dan kuih raya untuk dijamu pada penduduk Islam di sana, beberapa orang penduduk Islam mula datang memeriahkan majlis kesyukuran kami di balai Islam Pulai Ketam, namun kelibat penduduk perempuan masih tidak kelihatan.

Kami memulakan sesi dengan makan, kemudian taaruf sesama peserta dan bacaan tahlil. Selepas itu, kami berselawat dan bermarhaban dengan semangatnya. Kami dapat merasakan kebesaran Nya dengan membesarkan syiar Nya di pulau yang agak maju itu.
Kemudian, kami berombongan ke rumah2 penduduk Islam untuk berziarah, namun hanya dapat ke satu rumah sahaja, rumah lain samada penghuninya keluar kota, atau tidak bersedia untuk diziarahi.

Pengangkutan utama penduduk di pulau itu adalah BASIKAL. Masing2 tua muda berkenderaan itu untuk memudahkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yg lain. Keadaan di sana agak bersih, namun masih banyak yang boleh ditingkatkan. Banyak2 rumah batu cantik dibina, dan kemas juga buatannya. Aku tertanya2 juga bagaimana mereka mengangkut batu bata dan pasir2 ke pulau ini. Pasti meletihkan.

Selepas solat zohor, kami dijamu dengan makanan ikan segar ikan merah masak stim, sup ketam dan mcm2 lagi makanan laut. Sungguh segar dan damai rasanya. Kemudian, kami bersiap2 ke sangkar ikan berhampiran pulau untuk membeli ikan2 sangkar yang segar dan besar2 itu. Sejumlah 30 ekor ikan merah bersaiz dari 1 kg ke atas dijual pada harga diskaun demi kami pelawat yang datang jarang2 itu.

Kemudian, kami kembali semula ke lokasi utama Balai Islam Pulau Ketam untuk solat asar dan acara penyampaian cenderahati kepada penduduk Islam Mualaf di sana. Kuih2 raya yang kami bawa diagih2kan pada mereka agar mereka dapat berkongsi mesra dengan jiran2 bukan Islam juga.

Selepas acara bergambar beramai2, kami bergegas ke bot yang lama menanti. Sempat juga membeli ole2 untuk dibawa pulang ke daratan. Semoga acara2 seperti ini dapat diperluaskan lagi ke daerah lain yang memerlukan kunjungan damai dan perhatian, agar Islam itu dapat dipraktikkan dan dinikmati oleh semua. =)

Dalam bot dari jeti Pelabuhan Kelang


Sekitar suasana di Pulau Ketam



Berjalan2 di sekitar pulau, ziarah ke rumah orang Islam

Di sangkar ikan


Bergambar beramai2 sebelum pulang.

Tuesday, October 20, 2009

Genap 4 tahun tidak berjumpa...

Hari ini 20 October 2009, genaplah 4 tahun aku dan keluarga tidak dapat dan pasti tidak akan bertemu dengan abang kesayangan kami lagi di dunia ini. Dia pergi dahulu meninggalkan kami semua menyahut panggilan wajib Tuhan Semesta Alam itu. Tepat2 usianya 40 tahun, Allah menjemputnya untuk bersemadi dekat denganNya meninggalkan seorang isteri dan 5 anak yang masih memerlukan perhatian dan kehadirannya. Betapa Allah hendak memberi pengajaran pada kita semua, yang tempat pergantungan yang utama hanyalah pada-Nya, bukan manusia yang akan dipanggil pergi apabila gilirannya tiba, bila2 masa nanti.


Syawal yang baru berlalu semalam, menyaksikan kami bergambar 8 orang adik beradik saja, tanpa abang sulung tercinta. Sudah tidak akan lengkap gambar itu. Dan pasti tidak akan pernah lengkap.

SMS yang kuterima lewat malam semalam dari abang Zan, abang ke2 ku, benar2 mengharukan:
20/Okt/2005-2009 Empat tahun berlalu kita kehilangan saudara kandung yg amat dikasihi. Al-Fatihah untuk Allahyarham Hj Mat Mazlan Abu. Mudah2an rohnya aman bersemadi di sana, AMIN. ~kakangmu hj Mohd Zan Abu~

YM status akak iparku, balu arwah, Kak Mastura, juga semakin mengingatkan aku pada kenangan bersama arwah: genap 4 tahun 20/10/09 dalam kenangan.
dan juga Ieja adikku: Al Fatihah untuk arwah bang Long.

Ternyata walaupun arwah sudah lama pergi, kami pasti tidak akan pernah melupakan kehadirannya, yang banyak sekali berjasa mengisi hari2 kami dengan bahagianya. Kehilanganmu sungguh2 dirasai. Kami semua meredhakannya, dan moga Allah juga menerima kepulanganmu dengan keredhaanNya.

Moga kita akan berjumpa nanti, di sana, di syurga tempat tinggal abadi.

Al Fatihah untuk arwah abang Long...

Friday, October 16, 2009

Semusim berlalu...

Lama dah tak update blog, suka lawat blog kawan2, tapi mood untuk menulis seperti sudah tiada. Mungkin kerana macam2 perkara yang agak 'berat' berlaku, jadinya mood untuk share dengan kawan2 terus terpadam. Aku cuma memerlukan kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini. Kehidupan yang tidak akan pernah seindah mimpi2 itu. Walaupun susah, walaupun senang, life must go on, dengan bahagianya..sepatutnyalah,kan.


Dalam kekalutan itu, sempat juga aku menghabiskan bacaan buku Quranic Law of Attraction karangan Rusdin S.Rauf. Satu buku motivasi agama yang sangat bagus dan wajib dimiliki oleh setiap orang yang pastinya mempunyai jiwa2 yang akan selalu diuji Allah. Begitulah kehidupan ini, walaupun di luarnya kelihatan tenang, namun gelodak di dalam tidak semua orang boleh sembunyikan. Buku ini banyak mengajar tentang positive thinking yang pasti akan menghasilkan sesuatu yang positif juga. Analoginya seperti bermain bowling, jika dalam minda kita kata akan masuk longkang masa bola itu hendak dibaling, maka akan ke longkanglah bola itu, walaupun kita membaling dengan cara dan gaya yang betul. Begitulah lebih kurangnya kuasa minda yang boleh menentukan arah hasil usaha kita. Kalau kita tengok secara generalnya, orang2 yang berjaya dan kaya itu pastinya orang2 yang berfikiran positif, ceria dan tidak mudah putus asa, bukannya dalam diari kehidupan mereka sentiasa senang, tapi mereka mengambil kesusahan itu sebagai peluang untuk berjaya dengan lebih baik lagi. Penulis berjaya mengadunkan kuasa positif minda dengan Al Quran, dan itu juga sesuatu yang paling tepat saya kira. Jangan ketinggalan untuk mendapatkan buku itu sendiri dan rasakanlah kuasanya..hehe.

Tajuk entri di atas, tiadalah kaitan dengan isinya, hanya terasa sudah lama tidak ngobrol2 di sini. Mungkin dengan cara berblog ini, aku akan terasa sedikit lega walaupun tidak sepenuhnya. Macam2 peristiwa istimewa yang hendak dikongsikan, namun pencarian mood baik itu betul2 menggendalakan keadaan. Dalam perancangan hendak cerita tentang raya 2009, aidilfitri di Pulau Ketam dan jamuan raya 1RRM. Tunggula, mood itu pasti akan baik juga, seiring positif minda dan doa dengan penuh keyakinan. Mudahkanlah, ya Tuhan!


Tempat melayan perasaan, di tasik Taman Jaya, berdekatan LRT Taman Paramount.

Hidup mesti terus...!

Friday, October 2, 2009

Filem 'pertama' YAB TGNA


Satu lagi update, tapi mengambil dari blog kegemaran - Al-Banjari. Mas dah tengok filem pendek ni, banyak pengisiannya, boleh dijadikan titik tolak untuk kembali pada niat dan tujuan asal hidup di dunia ini. Moga ada manfaatnya.

The Tree : Nasihat YAB Nik Aziz Kepada Semua RAKYAT Malaysia

Pernahkah anda menonton filem yang dilakonkan oleh YAB Nik Aziz dalam 15Malaysia iaitu "The Tree".Dalam filem itu, YAB Nik Aziz telah menggambarkan proses kehidupan manusia bagaikan menanam sepohon pokok. Seseorang yang menanam pokok bukan sahaja dapat menolong orang lain tetapi juga akan membawa pahala kepada diri sendiri.

Penanaman sepohon pokok akan memanfaatkan hidupan yang bergantung kepada pokok itu contohnya burung. Selain itu, buah-buahan yang dihasilkan daripada pokok itu juga dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan. Ini bermakna kita mestilah sentiasa "menanam pokok" sepanjang kehidupan kita, kerana tindakan itu banyak menolong orang lain.

Tindakan "Penanaman Pokok" disini bererti kita mestilah membuat perkara yang baik dimana tindakan kita itu akan memanfaatkan orang lain.Selain itu, penanaman sepohon pokok juga dikatakan membawa manfaat kepada diri kita. Kekayaan yang dipunyai sekarang tidak mungkin dibawa ke akhirat. Wang tidak dapat dijadikan penentu pada akhirat nanti. "Merit" yang akan dijadikan penentu pada akhirat nanti.

"Merit" yang dimaksudkan disini ialah pahala yang dibuat oleh seseorang manusia sepanjang kehidupannya.Selain itu, cara menanam pokok juga perlulah mengikut cara yang halal. Cara yang salah dari undang-undang tidak akan membawa pahala kepada kita. Sebagai contoh memberikan upahan yang tidak berpatutan kepada mereka yang telah menolong anda menanam pokok.

Cara yang salah tidak dianggap membawa pahala kepada diri anda walaupun pada akhirnya "pokok" itu berjaya ditanam. Hal ini bererti kita harus menghayati sumbangan orang lain dan tidak cuba menipu, mencuri atau melakukan perkara yang haram sepanjang hidup kita.Mesej yang dibawa dalam filem itu bukan sahaja kepada warga Islam sahaja bahkan kepada warga bukan Islam dan seluruh RAKYAT MALAYSIA.

Saksikanlah filem itu...
15Malaysia : The Tree (YAB Nik Aziz)
http://www.ruumz.com/15Malaysia/

Mengapa perlu Berkahwin?

Salam Jumaat, dah lama tak update blog, tertarik dengan entry dari kawan baru blogku - Fatimahtuzzahrak. Moga kita sama2 mendapat manfaatnya.

Tajuk kali ni adalah “Mengapa perlu Berkahwin?” (diterjemah dan diedit dari coretan Sheikh Shady AlSuleiman dari Sydney Australia)

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T dan selawat serta salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat dan tabiin.
Allah yang Maha Berkuasa berfirman,


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (٢١
"dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Al-Ruum, 30:21)


Pernikahan adalah satu amalan yang mulia di sisi Islam. Islam melihat pernikahan sebagai satu daripada fitrah manusia. Setiap manusia perlukan teman hidup yang dapat mententeramkan jiwa dan berkongsi suka dan duka. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21).

Pernah kita dengar kisah Rasulullah dengan 3 orang sahabat Baginda yang hanya mahu beribadah kepada-Nya? Kisah ini menjadi tauladan hidup kita. Telah termaktub bahawa ada tiga orang sahabat Rasulullah tidak mahu tidur untuk beribadah di malam hari, tidak mahu makan untuk terus berpuasa dan tidak mahu bernikah untuk terus beribadah. Rasulullah sendiri bersabda Baginda sendiri tidur, berbuka puasa dan bernikah. Itulah landasan yang dipertunjuki oleh Rasulullah sendiri.

"Pernikahan adalah salah satu sunnahku. Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, maka sesungguhnya ia tidak meyukai aku."
Hadis

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :
“Wahai sekalian pemuda-pemuda, barangsiapa dari kamu mempunyai kemampuan, maka berkahwinlah, kerana nikah itu lebih menutup pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu baginya menjadi sebagai perisai (mengurangi syahwatnya)”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam juga menjadikan perkahwinan itu sebagai salah satu jalan mencari keredhaan Allah S.W.T. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Aisyah r.a., sabda baginda:
Maksudnya: 'Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.' (Riwayat at-Tirmizi)

Terdapat satu lagi tujuan utama disebalik perkahwinan, dan tujuan inilah yang dicari oleh semua manusia tidak kira dia Muslim ataupun non- Muslim. Apakah ia sebenarnya? Ia adalah kebahagiaan sebenarnya hasil daripada ikatan perkahwinan.

Kebahagiaan adalah matlamat utama yang cuba dicapai oleh seluruh manusia, dan perkahwinan adalah salah satu jalan yang dipercayai menjadi tunggak kebahagiaan. Walaubagaimanapun, terdapat pasangan yang berkahwin dan merasai pengalaman sebaliknya pada ikatan perkahwinan tersebut. Jadi, apakah masalahnya?

Jadi jom kita dengarkan jawapan dari Allah S.W.T di dalam AlQuran AlKareem. Allah menggambarkan bagaimana kehidupan seseorang yang berpaling daripada perintah dan ajaran-Nya. Firman-Nya:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى (١٢٤
قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًا (١٢٥
قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى (١٢٦
"Dan sesiapa Yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta".
ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku Dalam keadaan buta, padahal Aku dahulu melihat?"
Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadaMu, lalu Engkau melupakan serta meninggalkannya, dan Demikianlah Engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".
(Surah Thaahaa, 20:124-126)

Ini adalah mesej yang sangat jelas daripada Pencipta Kebahagiaan. Kita semua perlulah bersungguh-sungguh berusaha untuk mematuhi dan memahami perintah Allah dalam semua aspek. Hasilnya juga bermaksud kehidupan yang tidak bahagia bagi sesiapa yang tidak berkahwin dengan alasan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan untuk memenuhi sebahagian iman mereka dengan memelihara kemaluan mereka (tanpa berkahwin).
Dalam aspek lainnya, jom kita pelajari apa yang digambarkan oleh-Nya tentang kehidupan orang-orang yang mematuhi dan mengikuti perintah-Nya,

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (٩٧

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, Dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."
(surah AnNahl, 16:97)

Ayat ini menerangkan sendiri dengan jelas bagi sesiapa yang sedang mencari kebahagiaan.
Wahai Saudara-saudaraku marilah kita sama-sama kembali kepada Allah dan menyelusuri sunnah Junjungan Mulia, Nabi Muhammad S.A.W dalam mencari kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.

Oleh Sheikh Shady Alsuleiman
(diedit dan diterjemah dari The Message Magazine, Volume 3, Issue 3, Marriage Issue 2005)