Tuesday, January 13, 2009

Badminton Super Series 1


"Cemanalah dia ni boleh dapat Datuk,kan?" Luah seorang penonton di belakang kami.

"Itukan isu lama, buat apa nak kecoh-kecoh lagi." Bisik aku pada Faeza.

Terbantut seketika mood aku untuk menyaksikan dengan tenang perlawanan secara langsung separuh akhir di antara Datuk Lee Chong Wei dengan Peter Gade dari Denmark di Stadium Bukit Jalil petang Sabtu lepas. Namun kegamatan sorakan penonton di dalam stadium itu untuk meraikan ketibaan dalam gelanggang pemain Badminton nombor satu negara itu menyebabkan tumpuanku kembali 100% pada gelanggang utama.

Kehebatan permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain berpengalaman ini memang benar-benar membuatkan dada-dada kami sesak dan berdegup kencang dari biasa terutama tatkala mata-mata akhir dipungut. Bermain 3 set, Datuk tidak mengecewakan kerana berusaha sedaya upaya mematahkan pukulan lawan dan terus memungut mata untuk akhirnya layak bertanding di pentas akhir melawan pemain Korea Park Sung Hwan.

Bersukan memanglah salah satu daripada hobiku semenjak kecil lagi. Semasa di sekolah menengah dan rendah, juga di matrikulasi UIAM, dan setelah bekerja ini, aku aktif bermain bola jaring, bola tampar dan bola baling juga futsal. Namun kegemaranku adalah bola jaring, dan badminton bukanlah bidang sukan yang aku kuasai. Baru-baru ini aku menyertai kelas renang di Bangi dan walaupun belum berjaya untuk berenang sepenuhnya, beberapa teknik asas berenang sangat berguna bagiku. Atas kegilaan bersukan, aku pasti tidak akan melepaskan peluang untuk terlibat sama dalam apa-apa jenis sukanpun, sekadar untuk mengeluarkan peluh paling tidak.
Namun sekarang batasan masa memang benar-benar menjadikanku pasif dan aku rindu untuk bermain semula. Azam tahun baru ini antaranya adalah menyertai aerobik di Gym tempat kerjaku sekerap yang boleh dan sekali sekala turun untuk bersukan yang sebenar. Berjayakah?

2 comments:

unique1012 said...

bestnya dpt tengok perlawanan badminton!! favourite tuh..

Anonymous said...

best sangat...teruja..nnti2 dh blk mesia lehla gi tgk yer..hehe