Wednesday, December 24, 2008

Solat sangat PENTING!!

Semalam, selepas habis waktu kerja, aku bergegas ke Jalan Semarak untuk menunaikan tanggungjawab kedua mengajar Auditing di sebuah kolej di sana. Belum sampai sebulan tugas ini digalas namun aku merasakan betapa berat dan besarnya tanggungjawab mendidik ini, walaupun hanya beberapa jam bertemu mereka, namun kuharap ukhuwah islami ini akan berterusan hingga ke syurga.

Aku merasa terpanggil untuk turun ke padang menyumbang kepada pembangunan syaksiah remaja masa kini(anak-anak muridku terutama sekali!) yang terlalu banyak terpengaruh dengan unsur-unsur yang positif dan negatif, bercampur baur sehingga mereka tidak dapat membezakan mana yang patut diikut dan ditinggalkan.

Walaupun aku mengajar auditing, sesekali dalam kuliahku akan diselitkan dengan pengajaran dan unsur-unsur moral agar mereka belajar untuk mengkaitkan ajaran Islam dalam setiap amalan harian mereka, bukan di waktu-waktu tertentu semasa hari raya atau masa berdoa hendak lulus periksa saja.


Kelasku bermula agak lambat semalam dan kerana mereka hendak bercuti panjang, maka aku memanjangkan waktu mengajar sehingga hampir pukul 8 malam. Aku memang sengaja berhenti lewat kerana lokasi kelasku yang berhadapan dengan surau akan memudahkan urusan solat Maghrib yang masanya hampir tamat itu. Harapanku agar pelajar-pelajarku menunaikan tanggungjawab di surau tersebut sebelum pulang ke rumah masing-masing, bersama-sama.


Namun kehampaan yang besar melaut dihatiku melihatkan gelagat anak-anak bangsaku ini yang terus berjalan pulang ke rumah masing-masing tanpa ada inisiatif untuk menunaikan solat di surau itu terlebih dahulu. Aku segera bersangka baik bahawa mereka lebih selesa bersolat di rumah masing-masing dan sempat untuk mengerjakannya sebelum habis waktu. Walaupun jarak rumah sewa yang dekat dengan kolej itu, namun aku merasa jarak itu cukup jauh untuk mengejar waktu solat yang hampir tamat ini.

Segunung harapan dipanjatkan agar mereka sedar akan hakikat ini dan tidak mengabaikan solat gara-gara menuntut ilmu. Tuntutan mengerjakan solat tidak akan pernah padam hanya kerana kesibukan kita belajar hatta menjadi wajib walaupun kita dalam keadaan sakit tidak boleh bergerak!


Dalam sujud-sujudku tidak lupa untuk berdoa agar Allah bukakan pintu-pintu hati pelajar-pelajar kesayanganku agar dapat merasakan nikmat bila ada Allah di dalam hati-hati mereka, dalam tiap-tiap perbuatan amalan mereka. Percayalah, ketenangan itu tiada tandingannya..! =)


Gambar ihsan blog ini, terima kasih.

No comments: