Friday, January 23, 2009

Jumaat yang MULIA..


Jumaat yang mulia, penghulu segala hari, adakah kita selalu memanfaatkannya? Kerana setiap minggu dia pasti datang, maka aku tidak begitu mengambil kisah tentang kebesaran, keagungan dan kelebihan yang Allah telah selitkan pada Jumaat yang mulia. Sebenarnya, setiap perbuatan dan amalan kita adalah dinilai secara istimewa di hari ini. Bolehlah mencari-cari informasi tentang kehebatan hari Jumaat agar kita dapat sama-sama manfaatkannya.

ALBAZZAR meriwayatkan bahawa Nabi biasa memotong kuku dan menggunting misai sebelum keluar untuk solat Jumaat.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Siapa yang membuka surah Ali Imran pada hari Jumaat maka akan didoakan oleh malaikat hingga malam.

"Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Siapa membaca pada pagi Jumaat sebelum sembahyang Subuh Astagh Firullahalladzi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilahi tiga kali, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di laut.

"Dari Abu Hurairah katanya, dia mendengar Nabi bersabda, "Janganlah kamu berpuasa pada hari Jumaat, melainkan bersama satu hari sebelumnya atau sesudahnya.

"Pada hari Jumaat dijadikan ada saat mustajab; tiada seorang berdoa bertepatan dengan saat itu melainkan pasti doanya diterima selagi tidak berdoa untuk kejahatan atau memutuskan hubungan keluarga.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Siapa yang berwuduk sahaja untuk menghadiri solat Jumaat adalah sudah baik (memadai) tetapi siapa yang mandi maka adalah terlebih baik.

"Nabi Muhammad bersabda, " Sesungguhnya hari-hari yang utama bagi kamu iaitu hari Jumaat, maka perbanyakkanlah membaca selawat padaku kerana bacaan selawatmu itu langsung disampaikan kepadaku (pada hari Jumaat)."

# Terima kasih pada blog ini.

Jumaat yang mulia, moga aku tidak terabaikannya lagi...

Tuesday, January 13, 2009

Badminton Super Series 1


"Cemanalah dia ni boleh dapat Datuk,kan?" Luah seorang penonton di belakang kami.

"Itukan isu lama, buat apa nak kecoh-kecoh lagi." Bisik aku pada Faeza.

Terbantut seketika mood aku untuk menyaksikan dengan tenang perlawanan secara langsung separuh akhir di antara Datuk Lee Chong Wei dengan Peter Gade dari Denmark di Stadium Bukit Jalil petang Sabtu lepas. Namun kegamatan sorakan penonton di dalam stadium itu untuk meraikan ketibaan dalam gelanggang pemain Badminton nombor satu negara itu menyebabkan tumpuanku kembali 100% pada gelanggang utama.

Kehebatan permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain berpengalaman ini memang benar-benar membuatkan dada-dada kami sesak dan berdegup kencang dari biasa terutama tatkala mata-mata akhir dipungut. Bermain 3 set, Datuk tidak mengecewakan kerana berusaha sedaya upaya mematahkan pukulan lawan dan terus memungut mata untuk akhirnya layak bertanding di pentas akhir melawan pemain Korea Park Sung Hwan.

Bersukan memanglah salah satu daripada hobiku semenjak kecil lagi. Semasa di sekolah menengah dan rendah, juga di matrikulasi UIAM, dan setelah bekerja ini, aku aktif bermain bola jaring, bola tampar dan bola baling juga futsal. Namun kegemaranku adalah bola jaring, dan badminton bukanlah bidang sukan yang aku kuasai. Baru-baru ini aku menyertai kelas renang di Bangi dan walaupun belum berjaya untuk berenang sepenuhnya, beberapa teknik asas berenang sangat berguna bagiku. Atas kegilaan bersukan, aku pasti tidak akan melepaskan peluang untuk terlibat sama dalam apa-apa jenis sukanpun, sekadar untuk mengeluarkan peluh paling tidak.
Namun sekarang batasan masa memang benar-benar menjadikanku pasif dan aku rindu untuk bermain semula. Azam tahun baru ini antaranya adalah menyertai aerobik di Gym tempat kerjaku sekerap yang boleh dan sekali sekala turun untuk bersukan yang sebenar. Berjayakah?

Kek Lumut =)

Inilah Kek pertama buatanku. Aku sendiri masih tidak sangka bahawa membuat kek ini salah satu acara yang senang dan sangat memuaskan. Di samping kenyang sendiri, boleh pula menjamu kawan-kawan office dan rumah sewa. Seronok bertukar-tukar resipi dan petua dengan mereka. Kak Nabilah dan Kak Ila mesti tak caya mas dah mula berjinak-jinak dengan dapur ni, hehe. Terima kasih pada Ummu yang menjadi sumber inspirasi bermulanya misi ini dan pada sifu Rena yang tidak lokek ilmu mengajar kami. Juga pada partner peminat Badminton Faez yang merakam detik-detik bersejarah itu. (Poyo tak!!)

Inilah resepinya; sungguh mudah dan sedap...


Bahan-Bahan:

5 biji telur
Nestum (original) - dikisar 2 setengah cawan
Gula 2 cawan
Tepung suji 2 cawan
Susu cair 1 cawan
Pewarna hijau 2 sudu
Mentega 1 buku (setelah diletak dalam suhu bilik 1-2 jam)

Cara membuatnya:

Mentega diadun bersama telur, gula, susu cair, pewarna, tepung suji dan nestum. Setelah itu, masukkan dalam loyang, ditutup ketat dengan alumumiun fold dan kukus selama 2 – 2.5 jam. Sedia dihidang.

Selamat mencuba.


PS : ~Gambar setelah siap kukus belum transfer lagi~

Wednesday, January 7, 2009

Marilah...BOIKOT!!

Dunia digemparkan dengan berita kekejaman Yahudi (Laknatullah alaikum..!) lagi terhadap rakyat Palestin cum ISLAM. Rakyat Palestin bermati-matian mempertahankan tanahair mereka dan maruah ISLAM. Namun apalah sangat kita sebagai katanya saudara sesama Islam boleh membantu, setakat mengutuk dan rasa geram dengan perbuatan Yahudi itu. Cukupkah sekadar kata2 itu? Bilakah agaknya kita (SAYA) memang boleh betul-betul mengorbankan seluruh jiwa dan tenaga apatah lagi wang ringgit kepada perjuangan ISLAM ini. Saya berharap agar bila adanya seruan untuk berjihad itu, saya adalah antara orang yang menyumbang, tanpa rasa takut miskin atau MATI..! Ameen...


Kempen boikot memboikot produk-produk US yang menjadi penyumbang terbesar kerajaan haram Yahudi sekali lagi dilaungkan. Sejauh mana kejayaannya, itu bukanlah isu utama. Paling tidak umat Islam sedar dan kena disedarkan, rasa kebersamaan dan kepedulikan pada saudara seIslam yang lain, WAJIB ada dalam hati sanubari masing-masing. Dan yang pasti, bila bersatu itu pasti akan ada kesannya. Walaupun sikit, walaupun banyak, usaha keras ke arah menakutkan musuh musuh Islam itu amatlah penting dan WAJIB digerakkan atas inisiatif semua orang Islam, bukan hanya persatuan-persatuan Islam atau pihak kerajaan sahaja.

Jangan lupa untuk sama-sama memboikot kelakuan-kelakuan dan budaya Yahudi yang secara kita sedar atau tidak telah lama meresap masuk dalam kelakuan kita sehari-harian.






Allah, bantulah kami untuk terus tetap di jalan MU...

Wednesday, December 24, 2008

Solat sangat PENTING!!

Semalam, selepas habis waktu kerja, aku bergegas ke Jalan Semarak untuk menunaikan tanggungjawab kedua mengajar Auditing di sebuah kolej di sana. Belum sampai sebulan tugas ini digalas namun aku merasakan betapa berat dan besarnya tanggungjawab mendidik ini, walaupun hanya beberapa jam bertemu mereka, namun kuharap ukhuwah islami ini akan berterusan hingga ke syurga.

Aku merasa terpanggil untuk turun ke padang menyumbang kepada pembangunan syaksiah remaja masa kini(anak-anak muridku terutama sekali!) yang terlalu banyak terpengaruh dengan unsur-unsur yang positif dan negatif, bercampur baur sehingga mereka tidak dapat membezakan mana yang patut diikut dan ditinggalkan.

Walaupun aku mengajar auditing, sesekali dalam kuliahku akan diselitkan dengan pengajaran dan unsur-unsur moral agar mereka belajar untuk mengkaitkan ajaran Islam dalam setiap amalan harian mereka, bukan di waktu-waktu tertentu semasa hari raya atau masa berdoa hendak lulus periksa saja.


Kelasku bermula agak lambat semalam dan kerana mereka hendak bercuti panjang, maka aku memanjangkan waktu mengajar sehingga hampir pukul 8 malam. Aku memang sengaja berhenti lewat kerana lokasi kelasku yang berhadapan dengan surau akan memudahkan urusan solat Maghrib yang masanya hampir tamat itu. Harapanku agar pelajar-pelajarku menunaikan tanggungjawab di surau tersebut sebelum pulang ke rumah masing-masing, bersama-sama.


Namun kehampaan yang besar melaut dihatiku melihatkan gelagat anak-anak bangsaku ini yang terus berjalan pulang ke rumah masing-masing tanpa ada inisiatif untuk menunaikan solat di surau itu terlebih dahulu. Aku segera bersangka baik bahawa mereka lebih selesa bersolat di rumah masing-masing dan sempat untuk mengerjakannya sebelum habis waktu. Walaupun jarak rumah sewa yang dekat dengan kolej itu, namun aku merasa jarak itu cukup jauh untuk mengejar waktu solat yang hampir tamat ini.

Segunung harapan dipanjatkan agar mereka sedar akan hakikat ini dan tidak mengabaikan solat gara-gara menuntut ilmu. Tuntutan mengerjakan solat tidak akan pernah padam hanya kerana kesibukan kita belajar hatta menjadi wajib walaupun kita dalam keadaan sakit tidak boleh bergerak!


Dalam sujud-sujudku tidak lupa untuk berdoa agar Allah bukakan pintu-pintu hati pelajar-pelajar kesayanganku agar dapat merasakan nikmat bila ada Allah di dalam hati-hati mereka, dalam tiap-tiap perbuatan amalan mereka. Percayalah, ketenangan itu tiada tandingannya..! =)


Gambar ihsan blog ini, terima kasih.

Tuesday, December 23, 2008

Manusia = BERUBAH

Manusia = BERUBAH

Aku selalu terbaca kisah-kisah tentang manusia berubah, mungkin dari suka kepada benci, dari baik kepada jahat, dari kecil kepada besar, dari muda kepada tua, dari sesuatu kepada sesuatu.

Ya, memang aku tidak menafikan pasti akan ada perubahan itu, samada ke arah kebaikan atau keburukan, bergantung kepada persekitaran, ideologi, tapi yang paling penting hati, keazaman dan mindset. Pengalaman sendiri melalui zaman orang berubah ini sangat menyiksakan namun aku segera bersyukur kerana segala kepayahan segera diadukan pada Nya dan mengakui mungkin inilah balasan kesilapan diri sendiri yang memang terlalu banyak dosa dan noda.

Mungkin ini adalah salah satu cara Allah 'mengingatkan' ku bahawa jika dikatakan 'kun' maka jadilah, tiada sesiapa pun yang mampu dan tercapai akal untuk mengganggu gugat proses perancangan Allah. Dialah yang Maha Ada, Esa dan Mendengar setiap rintihan hamba-hambaNya, walau apa jua keadaan hamba itu, walau kotor dan jijik di pandangan manusia, namun pada pandangan Allah hanyalah yang lebih TAQWAnya di antara mereka.

Bukan aku tidak mempercayai Qada' dan Qadar Nya, namun aku sedikit terasa akan perubahan itu. Adakah manusia terlalu senang melupakan tempat dia mencari pengalaman membesar bagai juara, walaupun segala kepayahan dan ujian mendatang, selalu disenangkan dengan kehadiran teman yang sanggup berkorban apa saja demi memastikan kawannya itu dapat melepasi tahap dugaan itu,bersama-sama. Tegakah manusia itu untuk terus mengasingkan diri dengan pelbagai alasan sehingga perkataan privacy diwujudkan dengan harapan akan fahamlah teman ini.

Aku terasa seperti tiada manisnya lagi hidup ini, tidak sempurna lagi sinaran mentari itu, penerusan penghidupan ini hanyalah kerana menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dimuka bumi Nya.

Namun aku segera beristighfar dan berterima kasih lantaran masih diberi kesempatan untuk menarik nafas dan menghembusnya semula dengan kembali menikmati kenikmatan kenikmatan itu, walaupun sengsara di awalnya, aku amat berharap agar akan ada sinar harapan cahaya kebahagiaan menantiku di fasa Awal Muharam akan datang. Moga manusia itu akan kembali sedar dan berubah seadanya, atleast sambil berfikir tentang perasaan teman lainnya walaupun sedenak. Allahu a'lam.

SUDOKU..


Saya ada seorang roomate dan bekas kakak office yang rajin bermain permainan ini. Permainan ini mencabar minda dan bagus untuk kesihatan. Selain daripada membaca komik-komik dan buku ilmiah, pada saya, ini adalah salah satu daripada cara untuk memaksa dan membuat otak kita berfikir secara efektif dan berkesan. bermain dengan nombor-nombor adalah salah satu cara untuk menyeimbangkan penggunaan otak kiri dan kanan dan hasilnya tentulah pemikiran lebih kreatif, kritis dan unik!


Bagus permainan ini, saya pernah mencuba berkali-kali untuk menyelesaikannya, namun tidak pernah berhasil lagi. Saya masih tidak dapat mencari KUNCI penyelesaian untuk menyusun nombor-nombor itu. Namun saya masih lagi teruja dan exited untuk terus mencuba hingga berjaya, mungkin dengan tip dan nasihat dari kawan rumah saya itu, yang sanggup terperuk dalam bilik semalaman bertemankan buku Sudokunya itu. Tercabar juga saya!